BARCELONA – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi meyakinkan dalam Kejuaraan Dunia Moto3 apabila bakal memulakan perlumbaan Grand Prix Catalunya 2026 dari petak ke-10 selepas sesi kelayakan di Litar Barcelona-Catalunya, semalam.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu sekali lagi membuktikan kemampuannya untuk bersaing dalam kelompok hadapan selepas mara secara automatik ke sesi Q2 hasil aksi cemerlang pada sesi latihan Jumaat.
Hakim sebelum itu mencuri tumpuan apabila muncul pelumba terpantas dalam sesi latihan pertama (P1), sekali gus membawa momentum positif ke sesi kelayakan.
Pada sesi Q2, pelumba remaja negara itu tampil tenang dan konsisten ketika bersaing dengan barisan pelumba terbaik Moto3.
Malah, Hakim sempat berada dalam kelompok tiga terbaik ketika saingan berbaki lima minit terakhir sebelum beberapa pelumba lain memperbaiki catatan masa masing-masing.
Hakim akhirnya menamatkan sesi di kedudukan ke-10 dengan masa terpantas 1 minit 47.058 saat, hanya 0.379 saat di belakang pemegang petak utama.
Keputusan itu tetap dianggap positif buat pelumba muda berbakat besar negara itu yang terus mempamerkan peningkatan konsisten dalam musim rookienya di pentas Moto3.
Memulakan perlumbaan dari barisan keempat turut membuka peluang cerah buat Hakim untuk sekali lagi memburu mata kejuaraan berdasarkan kepantasan dipamerkannya sepanjang minggu perlumbaan di Catalunya.
Petak utama perlumbaan menjadi milik pelumba Red Bull KTM Tech3, Valentin Perrone selepas mencatat masa terpantas 1 minit 46.679 saat.
Hakim kini dijangka menggalas cabaran penting pada perlumbaan sebenar hari ini dengan misi meneruskan momentum positif dalam kempen Moto3 musim 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing