KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyifatkan sebarang ancaman terhadap negara-negara Arab dan Islam untuk menerima Perjanjian Abraham sebagai tindakan berbahaya, tidak bertanggungjawab dan boleh menggugat kestabilan serantau.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, usaha memaksa negara berdaulat menormalkan hubungan dengan Israel ketika pendudukan di bumi Palestin masih berterusan serta hak rakyat Palestin terus dinafikan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Menurut beliau, keamanan sejati tidak boleh diwujudkan melalui ugutan politik, tekanan ekonomi atau ancaman ketenteraan, sebaliknya perlu berasaskan keadilan, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan pengiktirafan terhadap hak sah rakyat Palestin.
“Isu Palestin bukan bahan tawar-menawar dalam percaturan geopolitik. Ia melibatkan soal keadilan, kebebasan, penentuan nasib sendiri dan hak rakyat Palestin untuk hidup bermaruah di tanah air mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa usaha menekan negara Arab dan Islam supaya menerima normalisasi tanpa menangani punca sebenar konflik hanya akan mengabsahkan pendudukan, mengiktiraf penindasan dan menjejaskan konsensus antarabangsa yang telah lama terbentuk berhubung isu Palestin.
Sehubungan itu, MAPIM menyeru negara-negara Islam memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama dalam mempertahankan hak rakyat Palestin serta menolak sebarang bentuk normalisasi yang mengorbankan kepentingan dan hak sah rakyat berkenaan.
Selain itu, kerajaan negara Arab dan Islam digesa menolak sebarang cubaan mengenakan tekanan politik atau ekonomi yang bertujuan memaksa mereka mengubah pendirian terhadap isu Palestin dan status Baitulmaqdis serta Masjid Al-Aqsa.
MAPIM turut menggesa pertubuhan antarabangsa dan badan hak asasi manusia supaya mempertahankan undang-undang antarabangsa serta menolak diplomasi berbentuk paksaan, selain menyeru masyarakat sivil, pemimpin agama dan organisasi kemanusiaan di seluruh dunia memperhebatkan usaha advokasi demi menegakkan keadilan di Palestin.
Mohd Azmi berkata, masa depan rantau Asia Barat tidak boleh dibina atas dasar ancaman dan paksaan kerana keamanan tidak akan tercapai selagi pendudukan serta perampasan hak rakyat Palestin terus berlaku.
“Tiadanya kompromi terhadap hak sah rakyat Palestin, status Al-Quds dan perlindungan Masjid Al-Aqsa. Keadilan mesti mengatasi kuasa dan prinsip mesti mengatasi tekanan,” katanya. – DETIK MALAYSIA