Jais Abdul Karim
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan terbuka berhubung keputusan menawarkan kompaun kepada seorang bekas Ketua Unit Komunikasi Korporat sebuah kementerian sehingga menyebabkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menghormati kuasa budi bicara Pendakwa Raya, SPRM serta keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang dibuat mengikut lunas undang-undang.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kes tersebut menimbulkan beberapa persoalan yang wajar dijawab secara terbuka bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sistem keadilan jenayah negara.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui rasional mengapa kes yang telah disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 akhirnya diselesaikan melalui mekanisme kompaun.
“Perkara ini lebih signifikan apabila pertuduhan tersebut melibatkan elemen suapan yang mempunyai implikasi langsung terhadap integriti perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan jumlah kompaun yang dikenakan kerana maklumat tersebut tidak didedahkan kepada umum.
Katanya, ketiadaan maklumat berkenaan berisiko menimbulkan persepsi bahawa kesalahan rasuah boleh diselesaikan melalui pembayaran sejumlah wang tanpa melalui proses perbicaraan penuh.
Sehubungan itu, MCW berpandangan SPRM dan Jabatan Peguam Negara perlu mempertimbangkan penerbitan garis panduan yang lebih jelas mengenai keadaan tertentu yang membolehkan sesuatu kes rasuah diselesaikan melalui kompaun.
“Ketelusan ini penting bagi memastikan prinsip keadilan bukan sahaja dilaksanakan, malah dilihat dilaksanakan,” ujarnya.
Jelas beliau, isu utama bukan tertumpu kepada individu yang terlibat, sebaliknya berkaitan persepsi awam terhadap konsistensi penguatkuasaan undang-undang dalam usaha membanteras rasuah.
“Keyakinan rakyat merupakan aset paling berharga. Sebarang keputusan yang tidak difahami masyarakat boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan dan sistem perundangan negara,” katanya.
MCW turut menggesa SPRM dan pihak pendakwaan memberikan penjelasan komprehensif mengenai asas perundangan, pertimbangan kepentingan awam serta justifikasi yang membawa kepada tawaran kompaun dalam kes berkenaan.
Menurut beliau, prinsip yang perlu sentiasa dipertahankan ialah keadilan mesti ditegakkan, ketelusan perlu dipelihara dan integriti institusi hendaklah terus diperkukuhkan. – DETIK MALAYSIA