KUALA LUMPUR – Lima prinsip yang digariskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman disifatkan sebagai langkah positif ke arah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi antirasuah negara, namun kejayaan sebenar bergantung kepada pelaksanaan dan keberanian melakukan reformasi secara berterusan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, rakyat kini menaruh harapan tinggi terhadap kepimpinan baharu SPRM dan mahu melihat prinsip yang diumumkan diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.
“Rakyat Malaysia sedang memerhati. Harapan mereka tinggi. Kini tiba masanya untuk membuktikan bahawa integriti bukan sekadar prinsip yang diucapkan, tetapi budaya yang diamalkan dan diwariskan kepada seluruh sistem pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, prinsip Integriti Tanpa Kompromi, Penguatkuasaan Yang Adil, Pencegahan Lebih Baik Daripada Hukuman, Teknologi dan Ketelusan serta Membina Kepercayaan Rakyat adalah selari dengan aspirasi rakyat selain menjadi asas penting dalam memperkukuhkan kedudukan SPRM sebagai institusi penguatkuasaan antirasuah yang diyakini, bebas dan dihormati.
Menurutnya, penegasan bahawa tiada kompromi terhadap salah laku dalam kalangan warga SPRM sendiri merupakan mesej penting dalam usaha memperkukuhkan integriti institusi berkenaan.
Malah, MCW turut menyokong langkah mewajibkan perisytiharan harta kepada semua pegawai SPRM sebagai manifestasi ketelusan dan akauntabiliti.
“Integriti sesebuah institusi tidak boleh dibina hanya melalui tindakan terhadap pihak luar, sebaliknya mesti bermula dengan keberanian membersihkan organisasi dari dalam,” katanya.
MCW turut menghargai pendirian Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar belakang individu yang disiasat.
Katanya, prinsip itu dilihat penting bagi menghapuskan persepsi bahawa wujud layanan berbeza terhadap golongan tertentu dalam pelaksanaan undang-undang. – DETIK MALAYSIA