SEPANG – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama sukan permotoran dunia apabila kerajaan melanjutkan kontrak penganjuran Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia sehingga tahun 2031.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, lanjutan kontrak bagi tempoh 2027 hingga 2031 itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri sekali gus memastikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terus menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP selepas tamat perjanjian sedia ada.
Katanya, keputusan tersebut bukan sekadar mengekalkan penganjuran kejohanan bertaraf dunia, malah merupakan langkah strategik kerajaan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
“Ia adalah keputusan strategik kerajaan yang dibuat berdasarkan tiga pertimbangan utama bagi memastikan manfaat jangka panjang terus dinikmati Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, antara faktor utama lanjutan kontrak itu ialah impak ekonomi yang dijana menerusi penganjuran MotoGP.
Berdasarkan kajian impak ekonomi, MotoGP Malaysia 2024 menyumbang kira-kira RM694 juta kepada ekonomi negara, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta merekodkan pulangan pelaburan dianggarkan sebanyak 6.3 kali ganda.
Beliau berkata, kejohanan itu turut merancakkan sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan, peruncitan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain menarik ribuan pelancong antarabangsa setiap tahun.
Dalam masa sama, katanya, MotoGP memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat pelumba tempatan menerusi Program Pembangunan Sukan Permotoran Malaysia (MDEV).
Katanya, program itu berjaya melahirkan pelumba muda berpotensi seperti Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan, selain membangunkan tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan perlumbaan, pengurusan sukan serta teknologi sukan permotoran.
Tambah beliau, lanjutan kontrak itu juga selari dengan Pelan Induk Pembangunan SIC 2035 yang menyasarkan Sepang menjadi hab sukan permotoran dan hiburan bertaraf dunia.
Pelan itu dijangka menarik pelaburan sehingga RM1 bilion serta mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
MotoGP mula dianjurkan di Malaysia pada 1991 sebelum berpindah ke Litar Antarabangsa Sepang pada 1999 dan kini menjadi antara acara sukan antarabangsa paling berprestij yang dianjurkan negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MotoGP