Jais Abdul Karim
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperhebat siasatan terhadap dakwaan kewujudan amalan ‘kaunter setting’ di pintu masuk antarabangsa negara
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, amalan tersebut didakwa semakin serius sehingga membuka ruang kepada kemasukan warga asing melalui pengaturan dengan pihak tertentu.
Menurut beliau, MCW menerima maklumat daripada sumber dalaman penguatkuasaan yang disifatkan konsisten serta mempunyai pengetahuan mengenai situasi di lapangan.
“Dakwaan yang dikemukakan amat serius dan tidak boleh sekadar dipandang sebagai khabar angin. Ia perlu disahkan atau disangkal melalui siasatan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan operasi besar-besaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) sekiranya kebocoran di pintu masuk negara tidak ditangani sehingga ke akar umbi.
Katanya, pihak berkuasa bukan sahaja perlu menahan PATI yang sudah memasuki negara, malah menyiasat pihak yang membolehkan mereka melepasi pintu masuk.
“Jika warga asing boleh masuk sebagai pelancong tetapi kemudiannya tinggal dan bekerja secara tidak sah, pihak berkuasa perlu meneliti keseluruhan rantaian kemasukan mereka.
“Adakah pemeriksaan dilakukan dengan betul? Adakah wujud ejen atau sindiket? Adakah terdapat pegawai yang bersekongkol atau menerima suapan?” katanya.
Sehubungan itu, MCW menggesa SPRM menjalankan audit forensik berasaskan data dengan memadankan rekod kemasukan warga asing, kaunter yang digunakan, pegawai bertugas, masa kelulusan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta corak perjalanan.
Menurut Jais, sebarang pola luar biasa yang berulang perlu dijadikan petunjuk awal untuk siasatan lanjut.
Beliau turut menggesa supaya pegawai berintegriti yang mempunyai maklumat dalaman diberikan saluran selamat untuk tampil menyalurkan maklumat.
Katanya, sekiranya maklumat mengenai kemungkinan rasuah pernah disalurkan kepada pihak berkuasa tetapi tidak mendapat tindakan sewajarnya, penjelasan perlu diberikan sama ada ia telah disiasat, apakah hasilnya atau mengapa tiada tindakan diambil.
Pada masa sama, beliau menegaskan MCW tidak menuduh keseluruhan warga JIM, sebaliknya tindakan tegas terhadap segelintir pegawai yang mengkhianati amanah penting bagi melindungi majoriti pegawai yang jujur.
“Jika rasuah membuka pintu masuk negara, maka rasuah itulah yang mesti ditutup terlebih dahulu.
“Rasuah di pintu masuk negara bukan sekadar salah laku individu, sebaliknya merupakan pengkhianatan terhadap amanah keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
