PETALING JAYA – Persatuan Van Pelancongan Malaysia (PVPM) mengakui pengumuman tambang siling bagi perkhidmatan bas pelancongan dan van pelancongan yang dibuat pada 30 Mac lalu mungkin menimbulkan isu persaingan di bawah Akta Persaingan 2010.
Dalam satu pengumuman permohonan maaf, Pengerusi PVPM, Simon Sim berkata, pihaknya kesal dan memohon maaf kepada orang awam berhubung pengumuman tambang siling yang dibuat semasa sidang akhbar bersama di Dorsett Hotel, Kuala Lumpur.
Sidang akhbar itu turut disertai Malaysian Inbound Tourism Association, Malaysian Indian Tour & Travel Association dan Malaysian Tourist Guides Council.
Menurut Simon, susulan sidang akhbar tersebut, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), melalui arahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, telah memulakan siasatan di bawah Akta Persaingan 2010.
“Dalam tempoh siasatan tersebut, PVPM mengakui bahawa pengumuman tambang siling tersebut mungkin menimbulkan isu persaingan di bawah Akta Persaingan 2010.
“Sehubungan itu, PVPM dengan ini menarik balik pengumuman tambang siling yang dibuat pada 30 Mac 2026. PVPM juga telah mengarahkan ahli-ahlinya untuk tidak melaksanakan, menggunakan atau bergantung kepada tambang siling tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua pengendali bas pelancongan dan van pelancongan bebas menentukan serta menetapkan harga masing-masing mengikut pertimbangan komersial sendiri.
Menurutnya lagi, PVPM turut secara sukarela memberikan aku janji kepada MyCC mengikut Seksyen 43 Akta Persaingan 2010.
“Melalui aku janji tersebut, PVPM komited untuk tidak terlibat dalam sebarang kelakuan antipersaingan dan akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mematuhi Akta Persaingan 2010 dalam kalangan ahli jawatankuasa dan ahli-ahlinya.
“PVPM mengakui kepentingan mengekalkan sebuah pasaran yang kompetitif, telus dan adil demi kepentingan pengguna, peniaga dan industri pelancongan,” katanya.
Tambah beliau, persatuan itu turut menggesa semua perusahaan dan persatuan industri di Malaysia memastikan semua keputusan komersial termasuk berkaitan harga, caj dan syarat perdagangan lain dibuat secara bebas serta selaras dengan Akta Persaingan 2010. – DETIK MALAYSIA
