KUALA LUMPUR - Demam bola sepak kembali melanda tanah air apabila perlawanan persahabatan sedunia bintang Uruguay dijangka tetap membara meskipun tanpa kehadiran beberapa bintang ternama skuad La Celeste seperti Federico Valverde, Ronald Araújo dan Manuel Ugarte.
Dua aksi antarabangsa Tahap 1 FIFA membabitkan Uruguay akan berlangsung minggu ini, bermula dengan pertembungan menentang Republik Dominica di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam esok diikuti perlawanan kedua menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 13 Oktober.
Menurut penganjur, skuad kendalian jurulatih berpengalaman Marcelo Bielsa itu tetap bakal menampilkan aksi penuh bertenaga dan profesional, biarpun tanpa beberapa pemain utama yang baru selesai menyertai kempen kelayakan Piala Dunia.
“Biarpun keadaan luar jangka menyebabkan beberapa tonggak tidak dapat hadir, kedua-dua perlawanan ini tetap diiktiraf secara rasmi oleh FIFA sebagai perlawanan antarabangsa Tahap 1. Ia menjamin mutu persaingan tertinggi serta nilai kesukanan sejati,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelasnya, sebagai tanda penghargaan kepada peminat, harga tiket bagi kedua-dua perlawanan telah disemak semula dan diturunkan agar lebih mampu milik untuk seisi keluarga.
“Peminat yang telah membeli tiket sebelum pengumuman ini layak menerima pulangan wang penuh, manakala tiket baharu dengan harga yang disemak semula kini boleh didapati bagi menggalakkan kehadiran lebih ramai penonton,” katanya.
Tambah beliau, penganjur mahu memastikan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan sama ada penyokong tegar bola sepak atau penonton biasa dapat menyaksikan sendiri kehangatan bola sepak antarabangsa di bumi Malaysia.
Bielsa dijangka memanfaatkan perlawanan ini bagi memberi peluang kepada muka baharu menggantikan pemain berstatus bintang seperti Valverde, Ugarte, Jimenez, Darwin Nunez dan De Arrascaeta.
Antara pemain yang dipanggil menyertai skuad kali ini ialah Puma Rodríguez (Vasco da Gama), Emiliano Martinez dan Facundo Torres (Palmeiras), serta Ignacio Laquintana.
Sementara itu, skuad Republik Dominica yang dikendalikan Marcelo Neveleff turut memulakan latihan pertama mereka pada Selasa dengan menampilkan beberapa pemain dikenali seperti Heinz Morschell, Noah Dollenmeier, Jimmy Caparos dan Edison Ascona. - DETIK MALAYSIA
Jadual Perlawanan:
🇺🇾 Uruguay vs Republik Dominica
📅 10 Oktober 2025
📍 Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
🇺🇾 Uruguay vs Uzbekistan
📅 13 Oktober 2025
📍 Stadium Hang Jebat, Melaka