KUCHING – Kuching City FC terlepas peluang meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL Two) 2026/2027 selepas terikat 1-1 dengan wakil Hong Kong, Kitchee SC dalam aksi Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin, Kuching.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu menurunkan kesebelasan terkuat dengan menggandingkan Ajdin Mujagic dan Jerome Etame di bahagian serangan, manakala Kitchee diketuai bekas pemain Real Madrid, Asier Illarramendi di bahagian tengah.
The Cats memperoleh gol pendahuluan seawal minit kedua menerusi jaringan sendiri pemain Kitchee yang gagal mengawal hantaran rakan sepasukan sehingga bola bergolek masuk ke gawang sendiri.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Kitchee menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi rembatan kencang kaki kiri Everton Camargo yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Selepas itu, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bagi memburu gol tambahan, namun beberapa peluang yang dimiliki Mujagic gagal dimanfaatkan untuk meletakkan tuan rumah kembali di hadapan.
Penyerang itu turut terperangkap dalam kedudukan ofsaid, manakala percubaannya yang lain tersasar daripada sasaran sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan kekal 1-1.
Bersambung babak kedua, Kuching City sekali lagi mengancam gawang lawan menerusi percubaan jarak dekat pemain antarabangsa Namibia, Petrus Shitembi pada minit ke-49, namun penjaga gol Kitchee, Pong Cheuk Hai berjaya menafikan peluang tersebut.
Mujagic turut hampir mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-69, tetapi tandukannya sekadar tersasar tipis di sebelah kiri tiang gol.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan selepas itu, namun tiada jaringan tambahan dihasilkan sehingga tamat perlawanan untuk menyaksikan mereka berkongsi satu mata.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City mengutip satu mata daripada dua perlawanan selepas tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown dalam aksi pembukaan pada 17 September lalu.
Kitchee pula mengumpul dua mata selepas turut terikat 1-1 dengan Gangwon dalam perlawanan pertama mereka.
Phnom Penh Crown kini mendahului Kumpulan H dengan enam mata selepas menewaskan Gangwon 2-1 pada Khamis.
Kuching City akan bertandang ke Korea Selatan untuk berdepan Gangwon pada 29 Oktober ini, manakala Kitchee akan melayan kunjungan Phnom Penh Crown pada tarikh sama. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
