RIYADH – Kejohanan Piala Asia 2027 berkemungkinan ditangguhkan selama 12 bulan ke Januari 2028 sekiranya konflik antara Arab Saudi dan pemberontak Houthi di Yaman gagal mereda dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menurut laporan AAP, penangguhan kejohanan itu dilihat sebagai pilihan lebih berkemungkinan berbanding menarik hak tuan rumah daripada Arab Saudi dan memindahkan lokasi pertandingan dalam tempoh singkat.
Bagaimanapun, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kemungkinan penangguhan berkenaan.
Kejohanan yang dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027 itu kini berdepan kebimbangan keselamatan susulan serangan pemberontak Houthi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh.
Laporan media menyebut sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala lebih 300 lagi cedera dalam serangan sepanjang hujung minggu lalu.
Lapangan terbang berkenaan dilaporkan diserang sebanyak empat kali dalam tempoh lima hari, dengan serangan paling dahsyat berlaku pada Sabtu.
Arab Saudi turut memberi amaran akan mengambil tindakan balas terhadap serangan berkenaan.
Situasi keselamatan itu menyebabkan Etihad dan Qatar Airways menangguhkan penerbangan ke Riyadh, manakala pihak berkuasa Australia menasihatkan rakyatnya supaya mempertimbangkan semula keperluan untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi.
Menurut AAP, seorang pegawai AFC dilaporkan menjangkakan perkembangan lebih jelas mengenai status kejohanan itu menjelang minggu kedua November ini.
Sementara itu, Football Australia (FA) memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan semasa dengan pasukan keselamatan badan induk itu memberikan maklumat terkini secara berkala.
Jurucakap FA berkata, keselamatan pemain, pegawai dan penyokong kekal sebagai keutamaan, manakala penilaian risiko akan menjadi aspek penting dalam persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.
Ketua Eksekutif Professional Footballers Australia (PFA), Beau Busch, turut menegaskan bahawa keselamatan perlu menjadi pertimbangan utama dalam perancangan penganjuran kejohanan.
PFA bersama kesatuan pemain global, FIFPRO, sedang memantau perkembangan dan berhubung rapat dengan FA serta pakar luar bagi menilai situasi semasa.
Sekiranya penangguhan dilaksanakan, keputusan itu turut memberi kesan kepada beberapa badan bola sepak kebangsaan, termasuk Australia.
Jurulatih Australia, Tony Popovic, yang melanjutkan kontraknya pada Jun lalu, terikat dengan FA sehingga Piala Asia 2027. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada kontraknya akan dilanjutkan sekiranya kejohanan itu ditunda ke 2028.
Piala Asia 2027 dijadual berlangsung di beberapa bandar di Arab Saudi, dengan lima daripada lapan venue, termasuk lokasi perlawanan akhir, terletak di Riyadh.
Australia pula dijadual memulakan kempen menentang Singapura di Al Khobar pada 9 Januari, manakala sebanyak 23 pasukan dijangka melakukan perjalanan ke negara itu bagi menyertai kejohanan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, perlawanan Liga Juara-Juara Elit AFC membabitkan Al Nassr dan Neftchi pada Isnin lalu dilaporkan ditangguhkan selama sejam susulan amaran keselamatan selepas sebuah peluru berpandu Houthi dipintas.
Penganjuran acara sukan lain di rantau itu turut terjejas apabila Grand Prix Jeddah dibatalkan pada April lalu, manakala Kejohanan Rali Dunia (WRC) menggugurkan acara di Arab Saudi yang dirancang berlangsung November ini.
Persekutuan Bolasepak Korea Selatan pula sedang meneliti beberapa senario bagi perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan lelaki mereka di Arab Saudi pada November.
Situasi itu turut menjadi perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), memandangkan Arab Saudi dijadual menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
Arab Saudi sebelum ini dipilih sebagai tuan rumah Piala Asia 2027, yang bakal menjadi edisi pertama kejohanan itu dianjurkan negara berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
