KUALA LUMPUR – Ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (Mara) disambut penuh bermakna apabila hampir 10,000 Gen Huffaz Teknokrat berhimpun dalam Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat Mara 2026 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tersentuh melihat ribuan generasi huffaz memenuhi ruang masjid dalam program berteraskan al-Quran yang menampilkan tadarus dan qiamullail.
“Alhamdulillah, hampir 10,000 Gen Huffaz berjaya dihimpunkan sempena ulang tahun ke-60 Mara. Ini membuktikan Mara bukan sahaja melahirkan profesional dan teknokrat, tetapi membina generasi berteraskan iman dan akhlak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, sepanjang enam dekad penubuhannya, Mara telah melahirkan ramai profesional dan teknokrat yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau turut meletakkan sasaran untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050, iaitu generasi yang menguasai ilmu, berpegang teguh kepada nilai al-Quran dan mampu memimpin masa depan negara dengan integriti.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Mara, para pendidik serta semua pihak yang terlibat dalam membina generasi tersebut.
“Selamat ulang tahun ke-60 Mara. Semoga terus melakar kecemerlangan dan membina legasi yang diberkati untuk masa depan negara, insya-Allah,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Zahid Hamidi
