KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran mengenai penularan wabak meningitis selepas sebanyak 1,790 kes jangkitan virus dan bakteria direkodkan dalam kalangan kanak-kanak serta bayi sejak awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif A M Abushammala berkata, meningitis atau keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang merupakan penyakit berbahaya yang berisiko mencetuskan krisis kesihatan lebih meluas di Gaza.
Beliau berkata, keadaan itu diburukkan dengan kemusnahan rumah, perpindahan penduduk secara besar-besaran dan kesesakan di kem penempatan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.
Katanya, keruntuhan sistem bekalan air dan pembetungan turut menyebabkan pencemaran sumber air minuman, manakala penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian serta kebersihan diri.
Selain itu, kekurangan zat makanan akibat sekatan Israel dan halangan kemasukan bekalan makanan berkhasiat turut meningkatkan risiko kesihatan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila hospital musnah, selain sekatan kemasukan ubat-ubatan, vaksin, bekalan perubatan, bahan api dan bahan binaan untuk membina semula kemudahan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa dan kerajaan yang menganggotai Majlis Keamanan supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk Gaza.
Beliau turut menyeru masyarakat umum dan organisasi kemanusiaan mempergiatkan usaha bagi mengurangkan kesan penularan penyakit berbahaya itu yang kebanyakan mangsanya terdiri daripada kanak-kanak. – DETIK MALAYSIA
