KUALA LUMPUR – Belanjawan MADANI Kelima 2027 perlu dinilai berdasarkan keberkesanannya meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar jumlah peruntukan atau projek yang diumumkan kerajaan.
Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembangunan negara perlu berteraskan asas yang kukuh merangkumi keadilan, integriti, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju perlu berjalan seiring dengan usaha memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih baik, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Malaysia boleh mengejar kedudukan sebagai ekonomi berteknologi tinggi, pusat kewangan Islam, hab industri halal dan pemain penting dalam perdagangan global.
“Tetapi kejayaan itu akan kehilangan makna sekiranya sebahagian rakyat masih bergelut untuk mendapatkan makanan yang mencukupi, rumah yang mampu dimiliki, pekerjaan dengan pendapatan bermaruah dan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka,” katanya dalam ulasan bertajuk PMX dan Bajet MADANI Kelima 2027: Menggapai Langit Tinggi, Mengakar Kukuh ke Bumi, hari ini.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur berdasarkan pelaburan asing, nilai pasaran saham atau kedudukan dalam indeks ekonomi antarabangsa, sebaliknya turut bergantung pada keadaan keluarga B40, pendapatan pekerja, peluang anak muda dan kebajikan warga emas.
Katanya, bantuan sosial perlu disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, namun usaha itu perlu disertai langkah membina keupayaan mereka untuk keluar daripada kemiskinan.
“Dasar gaji perlu bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti. Pendidikan perlu menyediakan anak muda untuk menghadapi perubahan ekonomi.
“Sektor pertanian dan makanan perlu dibangunkan agar negara tidak terlalu terdedah kepada kejutan bekalan global. Perkhidmatan kesihatan pula mesti kekal mampu diakses oleh rakyat tanpa membebankan keluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan pelaksanaan belanjawan perlu diukur melalui perubahan sebenar yang dirasai rakyat, termasuk peningkatan pendapatan bersih keluarga, peluang pekerjaan bermutu dan kemampuan mengawal kos keperluan asas.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pengumuman belanjawan perlu disusuli garis masa pelaksanaan, agensi bertanggungjawab, petunjuk prestasi serta laporan kemajuan yang boleh diteliti masyarakat.
Katanya, kerajaan juga perlu bersedia mengakui kelemahan pelaksanaan dan memperbetulkan dasar sekiranya hasil yang dicapai tidak memenuhi sasaran.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menggunakan perumpamaan pohon yang baik dalam Surah Ibrahim ayat 24 hingga 25 sebagai kerangka untuk menilai hala tuju pembangunan negara.
Menurutnya, akar pohon melambangkan nilai moral, integriti, keadilan, perpaduan dan institusi yang amanah, manakala cabang yang menjulang tinggi menggambarkan cita-cita negara untuk menjadi maju serta berdaya saing.
Beliau turut merujuk Surah al-Hasyr ayat 18 yang mengingatkan umat Islam supaya memerhatikan persediaan untuk hari esok, sebagai asas renungan terhadap kepentingan perancangan jangka panjang.
Katanya, keputusan berkaitan hutang, defisit, subsidi, cukai, pelaburan awam, pendidikan dan perlindungan sosial perlu mengambil kira keperluan semasa tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap generasi akan datang.
“Belanjawan MADANI 2027 akan dinilai bukan semata-mata melalui angka yang dibentangkan, tetapi melalui buah yang dihasilkan.
“Adakah kehidupan rakyat menjadi lebih baik? Adakah jurang ketidaksamaan semakin dirapatkan? Adakah ekonomi menjadi lebih berdaya tahan dan amanah wang awam dipelihara?” katanya.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan cita-cita pembangunan yang tinggi dengan asas kukuh supaya kemajuan negara dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat. – DETIK MALAYSIA
