PUCHONG – Perintis Academy menjalinkan kerjasama strategik dengan Tadika Kasih Khalifah, Little Caliph cawangan Taman Putra Perdana bagi melaksanakan program pembangunan futsal khusus untuk kanak-kanak berusia bawah enam tahun (U6).
Kerjasama itu turut menyaksikan pembinaan sebuah gelanggang futsal mini di kawasan tadika berkenaan bagi membolehkan latihan dan aktiviti pembangunan dijalankan secara konsisten dalam persekitaran selamat serta kondusif.
Pemilik merangkap Ketua Jurulatih Perintis Academy, Muhammad Khalis berkata, program itu bertujuan membentuk sahsiah, disiplin, keyakinan diri dan kemahiran sosial kanak-kanak seawal usia lima tahun menerusi aktiviti sukan yang menyeronokkan dan berstruktur.
Menurutnya, program berkenaan menggunakan konsep pembangunan atlet jangka panjang dengan penekanan terhadap penguasaan kemahiran asas serta perkembangan psikomotor kanak-kanak.
“Antara modul yang diterapkan ialah latihan Ball Mastery dan Small-Sided Games (SSG) yang disusun mengikut tahap perkembangan kanak-kanak.
“Kita perlu memastikan program seperti ini diteruskan secara konsisten. Hanya dengan usaha berterusan, pembangunan akar umbi mampu memberi impak sebenar kepada masa depan bola sepak dan futsal negara,” katanya.
Beliau berkata, Perintis Academy juga sedang membuat persiapan untuk menganjurkan Karnival Futsal U6 pada 21 November ini di Cyberjaya.
Sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pasukan yang berminat untuk menyertai karnival berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kasih Khalifah, Azian berkata, kerjasama tersebut merupakan inisiatif menarik yang mampu memberikan nilai tambah kepada perkembangan kanak-kanak pada peringkat awal.
Menurutnya, program seumpama itu wajar diperluaskan ke lebih banyak tadika Little Caliph dan berpotensi dijadikan program tahunan dalam rangkaian berkenaan.
Kerjasama itu diharap dapat melahirkan generasi kanak-kanak yang aktif, berdisiplin dan berkeyakinan tinggi, sekali gus memperkukuh pembangunan futsal di peringkat akar umbi. – DETIK MALAYSIA
