PETALING JAYA – Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2026/27 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Januari 2027.
Keputusan itu diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL, Selasa lalu.
Pemilihan stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dibuat susulan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang masih ditutup bagi menjalani kerja-kerja naik taraf besar-besaran melibatkan padang, trek olahraga dan kemudahan stadium.
Kerja-kerja naik taraf berkenaan dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA 2027 dan dijangka hanya selesai pada Mei tahun depan, menurut Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
MFL memilih SSI sebagai lokasi alternatif berdasarkan keadaan padang yang berkualiti, kemudahan infrastruktur bertaraf antarabangsa serta keupayaan logistik dan keselamatan.
Stadium berkapasiti 35,109 penonton itu turut dilengkapi kemudahan korporat, akses penyokong yang baik serta prasarana penyiaran bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir berkenaan.
SSI sebelum ini pernah menjadi venue perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 Harimau Malaya menentang Palestin pada September 2025 selain aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada Mac 2025.
Stadium itu juga mempunyai pengalaman menganjurkan perlawanan akhir Piala FA apabila JDT menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 pada edisi 2023. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
