PUTRAJAYA – Seramai 37 peserta bertuah membawa pulang pelbagai hadiah menerusi kempen Mega Gegar 20 Juta anjuran CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) yang melabuhkan tirainya pada acara kemuncak di IOI City Mall di sini semalam.
Kesemua pemenang dipilih daripada ribuan peserta di seluruh negara yang menyertai kempen berkenaan sejak dilancarkan pada Julai lalu.
Pada acara kemuncak itu, 37 finalis perlu berlumba mengumpul mata dalam ruang khas berkonsepkan kebuk udara bagi menentukan hadiah yang bakal dimenangi masing-masing.
Antara hadiah utama ialah ubah suai rumah pintar AI bernilai RM265,000 yang dimenangi Khow Yee Zhan dari Kuala Lumpur, manakala Danny Shiek Harn Heng dari Selangor membawa pulang sebuah kenderaan elektrik Proton e.MAS 7.
Sementara itu, tiga peserta iaitu Intan Aslinda Danik dari Johor, Nur Anis Qhairina Kamaruddin dari Kuala Lumpur dan Nur Afifa Najwa Mohd Ali Jina dari Selangor masing-masing memenangi pakej percutian antarabangsa bernilai RM100,000.
Selain itu, 12 pemenang menerima pakej percutian domestik bernilai RM50,000 setiap seorang, manakala tiga lagi membawa pulang pengalaman eksklusif menghadiri konsert Live Nation bernilai lebih RM8,000 setiap seorang.
Sebanyak 20 pemenang lain turut menerima telefon pintar dan peralatan elektrik rumah Samsung bernilai sehingga RM8,999.
Ketua Jenama dan Perkhidmatan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling berkata, kempen itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada 20 juta pelanggan yang terus memberikan kepercayaan kepada syarikat berkenaan.
Menurutnya, kempen itu menawarkan hadiah, ganjaran dan pengalaman bernilai RM20 juta menerusi kerjasama dengan rakan strategik termasuk Samsung, The Makeover Guys dan Live Nation.
Kempen Mega Gegar 20 Juta membolehkan pelanggan menyertai pertandingan menerusi pembelian produk dan perkhidmatan CelcomDigi yang layak, bermula serendah RM20.
Pembelian berkenaan membolehkan pelanggan membuka kotak misteri digital menerusi aplikasi CelcomDigi untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah dan pengalaman menarik. – DETIK MALAYSIA
