Dr R Manivannan - Kredit foto - Bernama
KUALA LUMPUR – Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) meminta media menyemak semula penggunaan istilah pendakian dan ekspedisi bagi menggambarkan perjalanan 54 rakyat Malaysia yang masih hilang di Nepal sejak tragedi berkenaan.
Pengasas Bersama, Penyelaras dan Jurucakap MASFIH, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, gambaran bahawa sebahagian besar individu terbabit menyertai aktiviti pendakian dan ekspedisi adalah tidak tepat serta tidak mencerminkan tujuan sebenar perjalanan mereka.
Menurutnya, daripada 54 rakyat Malaysia berkenaan, seramai 42 orang merupakan rakyat Malaysia berbangsa India yang menyertai perjalanan ziarah keagamaan ke Mount Kailash.
Manakala 12 lagi terdiri daripada 11 orang Melayu dan seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina yang berada di Nepal bagi tujuan pelancongan biasa.
“Perjalanan mereka melibatkan aktiviti menikmati keindahan alam semula jadi Nepal, termasuk pemandangan pergunungan, bukit-bukau dan landskapnya.
“Perjalanan kumpulan pelancong ini menggunakan kenderaan jip menuju ke Tibet, bukannya ekspedisi pendakian atau aktiviti mendaki gunung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perbezaan antara perjalanan ziarah keagamaan, pelancongan biasa dan aktiviti pendakian perlu difahami kerana penggunaan istilah tidak tepat boleh membawa implikasi besar kepada keluarga mangsa.
Katanya, perkara itu bukan sekadar berkaitan ketepatan laporan media, malah berpotensi menimbulkan komplikasi dalam urusan tuntutan insurans.
“Jenis aktiviti yang dilakukan sepanjang perjalanan boleh menjadi faktor penting dalam penilaian tuntutan insurans kerana sesetengah polisi mempunyai syarat dan pengecualian khusus berkaitan aktiviti berisiko tinggi seperti pendakian serta ekspedisi.
“Kami bimbang penggunaan istilah seperti pendakian, hiking dan ekspedisi secara tidak tepat boleh menimbulkan salah faham apabila keluarga berurusan dengan pihak insurans,” katanya.
Sehubungan itu, MASFIH meminta organisasi media yang pernah menggunakan gambaran sedemikian supaya menyemak semula laporan masing-masing dan membuat pembetulan sewajarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tragedi berkenaan memasuki hari ke-89 pada 22 November ini, namun permohonan pihaknya untuk mengadakan pertemuan bersemuka dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) masih belum dimuktamadkan.
Katanya, permohonan pertemuan itu dikemukakan sejak 27 September lalu bagi membolehkan waris mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai perkembangan serta tindakan susulan kerajaan.
Malah, katanya, permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri sendiri turut ditolak, sedangkan setakat ini belum ada pertemuan rasmi secara bersemuka antara menteri berkenaan dengan wakil waris atau MASFIH.
Menurutnya, pihaknya turut memohon KLN menyelaraskan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan mengenai proses pengisytiharan kematian anggapan di Nepal serta pengiktirafan dan implikasi undang-undangnya di Malaysia.
“Antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah dokumen diperlukan, perlindungan hak dan kedudukan undang-undang keluarga sekiranya individu yang tertakluk kepada proses tersebut ditemukan masih hidup.
“Perbezaan antara pengesahan kematian dengan proses kematian anggapan perlu diterangkan dengan jelas supaya keluarga memahami pilihan, hak dan kesan undang-undang sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Beliau berkata, waris tidak sepatutnya terus berdepan kesukaran mendapatkan jawapan terhadap persoalan yang menyentuh status, hak dan masa depan keluarga mereka.
Justeru, MASFIH menggesa KLN memberikan maklum balas rasmi serta menetapkan tarikh pertemuan dengan segera, termasuk mengatur sesi penjelasan bersama JPN dan AGC.
Tambahnya, 54 keluarga terbabit masih berdepan ketidakpastian selain perlu menguruskan pelbagai urusan kewangan, dokumentasi dan tuntutan dalam keadaan sukar.
“Kami tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya meminta fakta yang benar disampaikan dengan tepat, penjelasan yang telus dan tindakan berperikemanusiaan.
“54 rakyat Malaysia ini masih hilang dan keluarga mereka berhak mendapat jawapan serta didengari oleh pihak berkuasa,” katanya. – DETIK MALAYSIA
