JOHOR BAHRU – Harapan Malaysia untuk menamatkan saingan di podium pada Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13 musnah selepas tewas tipis 1-2 kepada India dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Hoki Taman Daya, semalam.
Kekalahan itu menyaksikan skuad muda negara bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan beraksi menentang sama ada New Zealand atau Pakistan dalam penentuan tempat ke-5 dan ke-6, manakala India mara ke final untuk menentang Australia aksi ulangan perlawanan akhir edisi 2022.
Pertahanan Malaysia bertahan dengan baik sehingga minit ke-22 sebelum India membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti. Penjaga gol negara, Haziq Muizuddin Hairul Mizan sempat menepis pukulan drag flick Rohit, namun Gurjot Singh pantas menyambar bola lantun untuk memberikan kelebihan kepada pasukan lawan.
Malaysia kembali bangkit selepas separuh masa dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43 apabila hantaran tinggi Danish Aiman Khairul Anuar ke dalam kawasan D India ditampan masuk oleh P. Naveenesh bagi menjadikan kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, India sekali lagi di depan pada minit ke-48 menerusi satu lagi situasi pukulan sudut penalti apabila Sourabh Anand Kushwaha menyudahkan peluang dari jarak dekat untuk menjadikan kedudukan 2-1. Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Walaupun gagal ke separuh akhir, Nor Saiful menegaskan fokus utama kini adalah persiapan ke Piala Dunia Remaja 2025 di India, Disember ini.
“Tidak kira bertemu New Zealand atau Pakistan nanti, perlawanan itu penting sebagai persiapan ke Piala Dunia. Kami mahu tamatkan kejohanan ini dengan kemenangan yang mampu tingkatkan keyakinan pemain,” katanya.
Meskipun keputusan tidak memihak kepada Malaysia, prestasi memberangsangkan menentang pasukan gergasi seperti Australia dan India memberi pengalaman berharga kepada skuad muda negara dalam usaha mereka memperkukuh cabaran di pentas antarabangsa. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Hokita