JOHOR BAHRU – Skuad hoki remaja lelaki negara menutup tirai kempen Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun (Piala Sultan Johor 2025) dengan penuh bergaya apabila menewaskan New Zealand 5-3 dalam aksi penentuan tempat kelima di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.
Anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampil bertenaga sejak wisel permulaan dan terus menguasai permainan, mengulangi dominasi ke atas lawan sama yang pernah mereka tewaskan 4-2 pada saingan peringkat ‘round robin’.
Malaysia membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Muhammad Harris Iskandar Osman hasil pukulan sudut penalti yang kemas sebelum Muhammad Haziq Zunnurain Mohd. Azhary menggandakan kedudukan pada minit ke-10 melalui gerakan padang menarik untuk memberi kelebihan 2-0 yang kekal hingga tamat separuh masa pertama.
New Zealand mula bangkit selepas rehat dan merapatkan jurang menerusi Bradley Rothwell (m-32), namun skuad muda negara pantas menyusun semula rentak dengan Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-44.
Tiga minit kemudian, Azimuddin Shakir Kamaruddin menjadikan kedudukan 4-1 hasil pukulan sudut penalti, sebelum New Zealand cuba menghidupkan semula harapan dengan dua jaringan pantas menerusi Jordan Whittleston (m-56) dan Dean Clarkson (m-60).
Namun, harapan skuad lawan berkecai apabila Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi memastikan kemenangan mutlak milik Malaysia dengan gol padang di penghujung perlawanan.
Menurut Nor Saiful, kemenangan itu membuktikan peningkatan prestasi pemain muda negara sepanjang enam perlawanan di Johor.
“Mereka menunjukkan peningkatan dari segi corak permainan sejak aksi pertama hingga terakhir. Kami banyak dapat pukulan sudut penalti, dan dua daripadanya berjaya disudahkan hasil analisis ke atas kelemahan pasukan lawan,” katanya.
Beliau menambah, skuad remaja negara akan menilai semula setiap kelemahan dalam tempoh sebulan sebelum berangkat ke India bagi menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2025 yang dijadual berlangsung di Chennai dan Madurai dari 28 November hingga 10 Disember ini.
“Kami akan perbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti. Berdasarkan keseluruhan prestasi, saya yakin pasukan ini mampu tampil lebih mantap dan tersusun di pentas dunia nanti,” ujarnya.
Walaupun sekadar menamatkan saingan di tempat kelima, pengalaman berdepan pasukan berkualiti di SOJC 2025 menjadi medan penting buat skuad Young Tigers memperkukuh persiapan ke kejohanan dunia itu.
Foto kredit - Malaysian Hockey Confederation