PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan serta menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan.
Anwar berkata, pendirian bersama itu dizahirkan menerusi perbualan telefon antara beliau dan El-Sisi petang tadi yang turut menyentuh mengenai perkembangan terkini Pelan Damai Gaza.
Menurutnya, Presiden Mesir itu memaklumkan bahawa tumpuan ketika ini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza bagi memastikan rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.
“Presiden El-Sisi turut menjelaskan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut yang merangkumi pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.
Anwar berkata, dalam perbualan itu, Presiden El-Sisi turut menyampaikan jemputan kepadanya untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza di Mesir sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.
“Beliau juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan berkekalan di Gaza,” tambahnya. - DETIK MALAYSIA