Oplus_131072
KUALA LUMPUR – Laporan patologi berhubung kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam rakan sekolah lelakinya di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa lalu dijangka siap dalam tempoh satu hingga tiga bulan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, jumlah sebenar kesan tikaman terhadap mangsa hanya akan disahkan secara rasmi selepas laporan penuh tersebut diperoleh.
“Setakat ini laporan penuh belum diterima. Kebiasaannya, laporan patologi mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan.
“Hanya selepas laporan itu siap, barulah jumlah sebenar kesan tikaman dapat disahkan secara rasmi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek utama masih direman sehingga 21 Oktober ini bagi melengkapkan siasatan, manakala sebanyak 127 saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan ibu mangsa, Wong Lee Pong mendakwa ahli patologi memaklumkan anaknya ditikam sebanyak 200 kali dan bukan 50 kali seperti dilaporkan sebelum ini, selain terdapat luka besar dan kecil pada bahagian kanan badan termasuk leher serta paru-paru.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 16 tahun ditemukan maut dengan kesan tikaman di kawasan tandas perempuan sekolah berkenaan.
Suspek berusia 14 tahun itu kemudian ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - DETIK MALAYSIA