JURU – Seorang wanita bersama anak perempuannya berusia 11 tahun ditemui mati dalam keadaan mengerikan di sebuah rumah sewa di sebuah kampung di sini, malam tadi.
Kejadian itu disedari suami wanita berkenaan yang menemui mayat kedua-duanya kira-kira pukul 7.30 malam sebelum segera memaklumkan kepada penduduk dan pihak polis.
Menurut sumber, mayat wanita berusia 51 tahun itu ditemui di bahagian dapur rumah dengan kesan kecederaan parah pada leher, manakala anak perempuannya pula ditemukan di tingkat atas dalam keadaan berlumuran darah.
Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca serta motif pembunuhan tersebut.
Seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, keluarga berkenaan baru sahaja berpindah ke rumah itu beberapa bulan lalu dan kanak-kanak tersebut merupakan anak tiri kepada lelaki berkenaan.
“Kami hanya tahu tentang kejadian selepas lelaki itu memaklumkan perkara itu dalam kumpulan WhatsApp penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.
“Kes melibatkan mangsa wanita berusia 51 tahun dan anak perempuannya berumur 11 tahun. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Polis dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik siasatan awal selesai. - DETIK MALAYSIA