KAPAR – Empat individu cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di berhampiran Pekan Kapar, Jalan Meru Tambahan, Kampung Bukit Cerakah, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.07 pagi.
“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dengan sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 9.16 pagi.
“Kemalangan melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah lori tanah, lori sampah serta dua buah kereta Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan itu mengakibatkan tiga lelaki dewasa warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun mengalami kecederaan.
“Semua mangsa telah dikeluarkan daripada kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Bomba Selangor