KUANTAN – Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mendedahkan baginda pernah mencadangkan beberapa nama pemain warisan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dinilai bagi memperkukuh skuad Harimau Malaya.
Menurut baginda, cadangan itu dibuat selepas menerima beberapa saranan daripada ejen pemain sejak hujung tahun lalu yang mengesyorkan individu berdarah Malaysia agar dipertimbangkan menyertai skuad kebangsaan.
“Saya memanjangkan cadangan terbabit kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan dan seterusnya dipertimbangkan menyertai skuad kebangsaan,” titah baginda dalam kenyataan.
Baginda turut mendedahkan bahawa antara nama yang pernah disyorkan termasuk tujuh pemain warisan yang kini terbabit dalam kes siasatan serta sekatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Kesemua tujuh pemain berkenaan telah diberikan kewarganegaraan Malaysia secara sah melalui proses undang-undang yang betul. Cadangan itu dibuat dengan niat murni untuk membantu pembangunan skuad negara,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, Tengku Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan terhadap visi dan usaha Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), dalam mempertingkatkan mutu bola sepak tempatan serta menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai model pengurusan moden dan profesional di Malaysia.
“Bertitik tolak daripada semangat tersebut, saya berkongsi sedikit pengalaman dalam proses naturalisasi dan pemilihan pemain berpotensi sebagai pemain warisan yang layak mewakili skuad kebangsaan,” titah baginda.
Tengku Abdul Rahman turut mengimbas peranan pasukan Pahang yang pernah memperkenalkan pemain naturalisasi terdahulu seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck, antara inisiatif penting yang membantu memperkukuh skuad Harimau Malaya.
Baginda berkata, pemain naturalisasi dan pemain warisan wajar dilihat sebagai aset penting dalam meningkatkan tahap permainan skuad kebangsaan.
“Setiap usaha yang dapat membantu mempertingkatkan standard bola sepak Malaysia akan sentiasa saya sokong,” titah baginda. - DETIK MALAYSIA
