KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Knesset Israel yang meluluskan peringkat awal rang undang-undang bagi melaksanakan undang-undang Israel di Tebing Barat, yang dilihat sebagai usaha untuk menggabungkan wilayah Palestin yang diduduki secara haram.
Presiden MAPIM, Mohd. Azmi Abdul Hamid, berkata langkah tersebut jelas merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menolak pendudukan dan peluasan penempatan Israel di wilayah Palestin.
“Rang undang-undang ini adalah satu bentuk penjajahan unilateral yang mengukuhkan ketidakadilan dan menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri. Ia juga menjadi halangan besar kepada penyelesaian dua negara serta keamanan sejati di rantau itu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, tindakan itu turut disifatkan sebagai provokasi berbahaya yang boleh menjejaskan kestabilan kemanusiaan dan keselamatan di Timur Tengah yang sedia tegang.
Katanya, Mapim menyeru agar kerajaan Israel menghentikan segera semua rancangan aneksasi serta menghormati undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.
"Mapim meminta masyarakat antarabangsa termasuk badan-badan PBB, negara Islam dan organisasi hak asasi manusia supaya bertindak tegas memegang Israel bertanggungjawab serta memastikan pematuhan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)," katanya.
Beliau berkata, Mapim turut menggesa negara-negara berpengaruh menolak sebarang pengiktirafan terhadap perubahan status wilayah Palestin yang dilakukan secara paksa dan menafikan hak asasi rakyatnya.
“Kami menyeru masyarakat sivil, rangkaian agama dan pertubuhan kemanusiaan global untuk terus menyokong rakyat Palestin, mempertahankan hak mereka serta menolak dasar pendudukan yang zalim,” ujarnya.
Mohd. Azmi berkata, Mapim berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menentang penjajahan Israel, sambil menekankan bahawa menolak aneksasi bukan sekadar kewajipan undang-undang, tetapi juga tanggungjawab moral bagi semua yang memperjuangkan keadilan, maruah dan keamanan sejagat. -DETIK MALAYSIA
