KUALA LUMPUR – Langkah mengharamkan penyediaan alkohol dalam penerbangan Malaysia Airlines tidak akan menjejaskan daya saing syarikat penerbangan negara itu, sebaliknya mampu memperkukuh jenama serta menyerlahkan identiti Islam Malaysia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, daya saing sesebuah syarikat penerbangan tidak bergantung kepada penyajian alkohol, tetapi kepada kualiti perkhidmatan, keselamatan, keselesaan dan nilai budaya yang dibawa.
“Sebagai pembawa bendera negara Islam, Malaysia Airlines sepatutnya berbangga mencerminkan nilai moral dan Islam tanpa menjejaskan kecemerlangan perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, trend global kini menunjukkan semakin banyak syarikat penerbangan dan industri pelancongan menerima konsep perjalanan beretika dan berasaskan nilai agama, malah beberapa penerbangan tanpa alkohol masih kekal berdaya maju serta mendapat penilaian tinggi.
Katanya, Mapim berpandangan bahawa dasar pengharaman alkohol itu mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pelancongan halal dan ekonomi Islam, di samping mewujudkan suasana penerbangan yang lebih mesra keluarga serta beradab.
Selain itu, langkah tersebut juga dilihat dapat mengurangkan kos operasi berkaitan lesen, penyimpanan dan pembaziran alkohol, sekali gus menjadikan Malaysia Airlines sebagai peneraju moral dalam etika penerbangan dan tanggungjawab korporat yang berteraskan nilai Islam.
“Pandangan bahawa pengharaman alkohol akan menjejaskan daya saing adalah cara fikir kolonial yang lapuk dan tidak selari dengan realiti pasaran etika masa kini,” katanya.
Mohd. Azmi turut menyeru Malaysia Airlines dan Kementerian Pengangkutan melihat keputusan itu sebagai langkah kepimpinan berprinsip, sekali gus membuktikan bahawa syarikat penerbangan nasional mampu kekal moden, bertaraf dunia dan berpaksikan nilai Islam tanpa berkompromi terhadap prinsip moral. - DETIK MALAYSIA
