SHAH ALAM – Kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas kira-kira enam ekar di Jalan Pulau Angsa, Taman Perdana Height di sini, berjaya dikawal petang semalam selepas operasi pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 petang sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi 12 minit kemudian.
“Operasi turut dibantu anggota dari BBP Kapar dan BBP Sungai Buloh melibatkan kekuatan 18 anggota keseluruhan bersama tiga jentera jenis FRT dan sebuah tangki air (water tanker).
“Kebakaran pada mulanya melibatkan kawasan dua ekar namun merebak sehingga kira-kira enam ekar sebelum api berjaya dikawal pada pukul 6.05 petang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sehingga 6.30 petang, 80 peratus kebakaran telah berjaya dipadam, manakala baki 20 peratus lagi masih dalam usaha pemadaman susulan oleh pasukan bomba di lokasi. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Bomba Selangor