PUTRAJAYA - Pasport Malaysia sekali lagi membuktikan keunggulannya di peringkat antarabangsa apabila kini menduduki tangga ketiga dunia dalam Ranking Passport Index 2025, menjadikan ia antara dokumen perjalanan paling berkuasa di dunia.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan di Facebook berkata, pencapaian membanggakan itu membolehkan rakyat Malaysia menikmati kemudahan perjalanan tanpa visa ke 174 buah negara di seluruh dunia.
“Keputusan ini mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap tahap keselamatan serta integriti dokumen perjalanan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
JIM berkata, peningkatan kedudukan ini menjadi bukti usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem keselamatan imigresen dan mempertingkat imej negara di mata dunia.
Ranking Pasport Index diterbitkan oleh laman rasmi passportindex.org yang menilai kekuatan pasport berdasarkan bilangan negara yang boleh dikunjungi tanpa visa atau dengan visa semasa ketibaan.
Pencapaian ini sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju, dan menjadi antara pasport paling mudah digunakan di rantau Asia Tenggara. - DETIK MALAYSIA