KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa penjelasan segera daripada kerajaan negeri dan persekutuan berhubung kewujudan plaza tol di laluan menuju Genting Highlands yang didakwa sebagai jalan persendirian dan dibenarkan mengenakan caj kepada pengguna.
Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata isu tersebut menimbulkan persoalan besar berkaitan dasar awam, integriti pentadbiran tanah, kepentingan pengguna dan kemungkinan mewujudkan preseden baharu yang boleh merugikan rakyat.
Menurut beliau, jalan yang digunakan orang awam tidak sepatutnya dikenakan tol secara unilateral oleh mana-mana syarikat swasta, lebih-lebih lagi apabila tanah terlibat merupakan tanah kerajaan negeri yang diberikan premium serta melibatkan kawasan hutan simpan yang telah dinyahwartakan.
“Laluan Genting Highlands bukan sekadar jalan ke pusat peranginan atau kasino. Ribuan pekerja, guru, petugas operasi, penduduk setempat dan pengguna harian bergantung pada laluan ini setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCW turut membangkitkan beberapa persoalan kritikal termasuk adakah wujud kelulusan rasmi kerajaan negeri atau persekutuan seperti Exco, MOF, KKR atau EPU yang membenarkan sebuah entiti swasta mengutip tol.
Beliau berkata, pembangunan yang menguntungkan syarikat tidak sepatutnya memindahkan kos infrastruktur kepada rakyat, lebih-lebih lagi pekerja syarikat yang menggunakan laluan tersebut setiap hari tanpa sebarang insentif.
Sehubungan itu, MCW menggesa Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor memberikan penjelasan terbuka mengenai status tanah serta legaliti kutipan tol.
"MCW mahu Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan pendirian rasmi mengenai tindakan entiti swasta mengenakan tol di laluan umum.
"Satu semakan integriti (integrity review) perlu dilakukan terhadap proses pewartaan, kelulusan tanah, perubahan guna tanah dan kelulusan tol dan pembatalan cadangan kutipan tol sehingga siasatan selesai.
“Model pembangunan negara tidak boleh beralih kepada privatisasi keuntungan dan sosialisasi beban kepada rakyat. Segala bentuk kutipan berkaitan utiliti awam mesti melalui proses perundangan serta kelulusan kerajaan,” katanya. - DETIK MALAYSIA