KLANG – Tiga individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang semalam berhubung kejadian mendatangkan kecederaan dan khianat yang berlaku pada 2 November lalu di kawasan perumahan Taman Berteh Laut, Teluk Pulai, Klang.
Kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu sebelum ini tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan sebaik menerima maklumat mengenai insiden berkenaan.
Beliau berkata, kertas siasatan lengkap kemudian dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pihak pendakwaan mengarahkan tiga individu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.
“Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, seorang lagi suspek turut berdepan pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun dan denda.
Ramli berkata, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada 14 November 2025 untuk pertuduhan dan mereka tidak mengaku bersalah serta memohon dibicarakan. - DETIK MALAYSIA