JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan status sebagai jenama bola sepak terkemuka di Asia Tenggara selepas memeterai lanjutan kontrak selama empat tahun bersama gergasi barangan sukan global, Nike, sekali gus mengekalkan kerjasama itu sehingga 2029.
Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Ibu Pejabat JDT semalam menyaksikan kesinambungan hubungan strategik lebih sedekad antara kedua-dua pihak, yang banyak membentuk identiti moden skuad Harimau Selatan di dalam dan luar padang.
Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia serta Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengarah Teknikal, Alistair Edwards bersama wakil kanan Nike.
Garcia berkata, lanjutan kerjasama itu mencerminkan keserasian visi antara JDT dan Nike dalam usaha memperkukuh kedudukan kelab di pentas global.
“Kami sangat gembira dapat melanjutkan kerjasama bersama Nike yang telah menjadi rakan jangka panjang JDT sejak sedekad lalu. Lanjutan ini menguatkan lagi aspirasi kami untuk terus membina JDT sebagai sebuah kelab bola sepak bertaraf dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sejak bekerjasama lebih 10 tahun lalu, Nike memainkan peranan penting dalam evolusi penjenamaan JDT daripada inovasi jersi hinggalah kepada penghasilan pakaian berprestasi tinggi yang membantu meningkatkan keupayaan pasukan dalam saingan domestik dan benua.
Dengan lanjutan kontrak ini, JDT dan Nike dijangka memperkenalkan lebih banyak penambahbaikan dalam barangan rasmi, projek libat urus penyokong serta pembangunan teknologi baharu dalam rekaan jersi, sekali gus menegaskan komitmen kelab terhadap standard profesional bertaraf antarabangsa. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - JST