SHAH ALAM – Hampir 500 peserta seni bela diri berhimpun di Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, Seksyen 32 bagi menyertai Kejohanan Kesenian & Kebudayaan Seni Bela Diri Taekwondo Antara Sekolah-Sekolah (Peringkat Negeri Selangor) yang berlangsung pada Ahad lalu.
Acara anjuran Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, Pejabat DUN Kota Kemuning dan Pejabat DUN Sentosa itu menghimpunkan pelajar berusia antara 6 hingga 17 tahun dari seluruh daerah di negeri ini.

Presiden Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia merangkap Pengerusi Kejohanan, Master Dr. S. Edwin berkata, penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan minat tinggi pelajar dan ibu bapa terhadap taekwondo sebagai seni bela diri serta aktiviti kokurikulum.
“Taekwondo bukan sekadar sukan, tetapi sebuah seni bela diri dan warisan kebudayaan Korea. Di Malaysia, ia menjadi pilihan utama ibu bapa dan pelajar kerana mampu membina disiplin, ketangkasan dan sahsiah diri selain menjadi jambatan perpaduan tanpa mengira kaum,” katanya kepada DETIK MALAYSIA baru-baru ini.

Kejohanan berkenaan turut memperkenalkan acara baharu iaitu Speed Kick yang mempamerkan teknik tendangan laju serta kawalan pergerakan kreatif. Acara itu menerima sambutan menggalakkan daripada peserta dan ibu bapa yang teruja menyaksikan kepantasan serta kreativiti anak-anak mereka.
Master Dr. Edwin berkata, penganjuran kejohanan sedemikian memainkan peranan besar dalam membentuk karakter pelajar.
“Penyertaan aktif dalam seni bela diri dapat mengurangkan risiko kes buli di sekolah kerana murid dilatih mengawal emosi, menghormati rakan dan berdisiplin tinggi. Aktiviti positif seperti ini turut menjauhkan mereka daripada pengaruh negatif,” jelasnya.
Beliau berkata, kejohanan peringkat negeri bukan sahaja memberi pendedahan kompetitif, malah meningkatkan keyakinan diri serta rasa bangga dalam kalangan pelajar selain menyumbang markah penting dalam Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran dua pemimpin negeri iaitu YB Prekas Sambunathan (ADUN Kota Kemuning) dan YB Dr. Gunaraj George (Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada YAB Menteri Besar Selangor merangkap ADUN N.48 Sentosa) sebagai tetamu khas.

Katanya, kehadiran mereka bukan sahaja memberi motivasi kepada peserta, malah membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam menyokong pembangunan belia, seni budaya dan aktiviti kemasyarakatan di peringkat sekolah.
“Saya yakin dengan sokongan berterusan, taekwondo akan terus berkembang sebagai aktiviti kesenian dan kebudayaan yang memperkukuh disiplin, perpaduan dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar,” katanya. - DETIK MALAYSIA