SEATTLE – Belgium mencipta kebangkitan dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Senegal 3-2 selepas masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Senegal tampak berada di landasan selesa untuk mara apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Habib Diarra pada minit ke-25 sebelum Ismaïla Sarr menggandakan kelebihan pada minit ke-51.
Namun, Belgium enggan mengalah apabila Romelu Lukaku merapatkan jurang pada minit ke-86 sebelum Youri Tielemans menyamakan kedudukan tiga minit kemudian untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Ketika aksi seakan-akan menuju penentuan sepakan penalti, Belgium dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan VAR pada penghujung masa tambahan dan Tielemans tenang menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-120+5 untuk melengkapkan kebangkitan sensasi The Red Devils.
Kejayaan itu mengulangi sejarah manis Belgium pada Piala Dunia 2018 apabila mereka turut bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Jepun 3-2 di peringkat kalah mati.
Belgium kini mara ke pusingan 16 terbaik dan akan berdepan pemenang antara Amerika Syarikat atau Bosnia dan Herzegovina bagi memburu tiket ke suku akhir. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Reuters