SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan Amerika Syarikat kini berada di persimpangan sejarah yang kritikal apabila kepimpinannya didakwa semakin menyimpang daripada prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata situasi semasa di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump bukan lagi sekadar perbezaan politik, sebaliknya melibatkan hala tuju dan jiwa republik Amerika itu sendiri.
Menurut beliau, pendekatan pentadbiran Amerika kini dilihat semakin bercorak imperialis melalui tekanan politik, ancaman terhadap negara berdaulat, sekatan ekonomi serta pengabaian undang-undang antarabangsa.
“Ini bukan kekuatan sebenar sebuah negara, sebaliknya bahasa sebuah empayar yang sedang merosot,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Azmi berkata, rakyat Amerika kini menanggung kesan langsung dasar tersebut termasuk peningkatan perbelanjaan ketenteraan, kemerosotan sektor kesihatan dan pendidikan, hutang negara yang melonjak serta pengasingan antarabangsa yang melemahkan ekonomi.
Beliau menegaskan bahawa perubahan tidak boleh terus ditangguhkan dan mesti bermula dari dalam negara itu sendiri melalui saluran sah dan demokratik.
“Ini bukan seruan kepada kekacauan, tetapi satu usaha pembetulan perlembagaan demi mempertahankan demokrasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mapim menyeru masyarakat antarabangsa agar terus menuntut sebuah Amerika Syarikat yang menghormati undang-undang antarabangsa, menolak dominasi imperialis dan memimpin dunia melalui keadilan, bukan kekerasan.
Menurutnya, sejarah akan menilai siapa yang berani bersuara dan siapa yang memilih untuk terus berdiam diri. - DETIK MALAYSIA