JOHOR BAHRU – Pemain sayap kelahiran Brazil, Heberty Fernandes mengesahkan perpisahannya dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tiga tahun menabur bakti bersama skuad Harimau Selatan.
Pengumuman itu dibuat menerusi media sosial miliknya dengan menitipkan ucapan penuh emosi kepada seluruh warga kelab yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada perjalanan paling bermakna dalam karier profesionalnya.
Menurut Heberty, tempoh tiga tahun bersama JDT dipenuhi dengan pelbagai pengalaman berharga termasuk kejayaan menjulang trofi, mengharungi cabaran serta membina hubungan erat dengan rakan sepasukan dan penyokong.
“Selepas tiga tahun yang tidak dapat dilupakan, sudah tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang sangat istimewa ini.
“Tahun-tahun ini dipenuhi dengan pembelajaran, cabaran, kejayaan dan kejuaraan yang akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah hidup saya,” katanya.
Dalam masa sama, pemain berusia 37 tahun itu turut merakamkan penghargaan khas kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang dianggap antara individu penting sepanjang kariernya di JDT.
Heberty berterima kasih atas kepercayaan, sokongan dan layanan baik yang diterimanya sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan.
“Terima kasih istimewa kepada TMJ atas sokongan, kepercayaan, kebaikan dan semua kenangan yang kami kongsi bersama. Ia satu penghormatan besar buat saya untuk mewakili kelab ini,” ujarnya.
Sepanjang bersama JDT, Heberty muncul antara tonggak import paling berpengaruh dalam Liga Malaysia menerusi kreativiti, kemahiran teknikal serta keupayaannya mencipta detik-detik penting dalam perlawanan besar.
Selain kejayaan di atas padang, beliau juga dikenang sebagai pemain yang disenangi penyokong setia Harimau Selatan hasil komitmen tinggi dan sumbangan besarnya kepada dominasi JDT dalam saingan domestik.
Perpisahan Heberty sekali gus menandakan berakhirnya satu era penting buat pemain berkenaan dan JDT yang kini dijangka melakukan rombakan skuad menjelang musim baharu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST