KUALA LUMPUR – Pasukan Wheelchair Tennis Malaysia berada di landasan terbaik untuk meraih dua pingat emas apabila menguasai acara perseorangan dan bergu lelaki pada temasya ASEAN Para Games Korat, Thailand.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia muncul sebagai pilihan utama dan kedua selepas semua wakil negara menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan hari ini.
Dalam aksi perseorangan, Abu Samah Borhan mempamerkan permainan agresif apabila menewaskan Kevin Sanjaya 6-0, 6-1 dalam masa 40 minit hasil strategi berbeza yang dirangka jurulatih, Talha.
“Saya akan buat yang terbaik sehingga ke peringkat akhir bagi acara perseorangan dan bergu,” kata Abu Samah.
Sementara itu, pemain pilihan utama temasya, Mohd Yusshazwan Yusuf, turut mara selepas mencatat kemenangan 6-3, 6-4 ke atas lawannya.
“Saya bangga dengan prestasi hari ini dan yakin pasukan mampu membawa pulang dua emas, insya-Allah,” ujar Yusshazwan.
Talha berkata, fokus pasukan kini tertumpu kepada penjagaan diet, rehat mencukupi serta penyediaan pelan permainan bagi perlawanan seterusnya.
Presiden Wheelchair Tennis Malaysia, Muhd Iqbal Sulaiman, yakin All Malaysian Finals mampu direalisasikan sambil menyasarkan kemenangan bersih selepas kejayaan bergu menewaskan Laos 6-0, 6-0, sekali gus membuktikan kekuatan Malaysia sebagai kuasa terbaik tenis kerusi roda ASEAN. - DETIK MALAYSIA