PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berunsur fitnah yang dimuat naik menerusi satu hantaran di platform TikTok, baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi, hantaran daripada akaun Justicenafisa (@misuscu.yong) itu mengandungi tohmahan tidak berasas terhadap SPRM, termasuk tuduhan kononnya pegawai suruhanjaya berkenaan menyerahkan ‘saman palsu’ serta melabelkannya sebagai satu bentuk penipuan atau scam.
SPRM berkata, dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak benar, mengelirukan orang ramai dan menjejaskan kredibiliti agensi penguat kuasa undang-undang itu.
“Susulan itu, SPRM telah mengeluarkan tuntutan supaya individu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka serta menurunkan hantaran fitnah berkenaan dengan serta-merta,” menurut kenyataan itu hari ini.
SPRM turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi tuntutan tersebut akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil bagi melindungi imej dan reputasi suruhanjaya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memaklumkan pihaknya telah memperoleh izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap individu berkenaan.
Pertuduhan dijadualkan berlangsung pada 5 Februari 2026 berhubung dakwaan kes rasuah berkaitan isu ‘counter setting’ imigresen.
SPRM menegaskan semua siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial. – DETIK MALAYSIA