KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan menguruskan laman sesawang lucah yang menyasarkan warga Hong Kong menerusi satu serbuan di sebuah kondominium di Maluri, Cheras, Rabu lalu.
Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada kira-kira pukul 3 petang, hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pusat panggilan (call centre) sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, operasi dijalankan di Laville Condominium, Cheras.
“Hasil semakan awal mendapati sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan penstriman langsung kandungan lucah menerusi satu platform dalam talian.
“Mangsa yang berminat dibenarkan menonton kandungan tersebut untuk tempoh terhad sebelum diminta membuat bayaran tambahan bagi meneruskan akses,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang membuat pembayaran bagaimanapun gagal menerima perkhidmatan seperti dijanjikan, sekali gus dipercayai menjadi mangsa penipuan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan bertanggungjawab mengawal serta mentadbir pemasaran laman lucah tersebut secara atas talian, manakala urusan transaksi pembayaran dan pengendalian akaun dipercayai diuruskan oleh kumpulan lain yang masih bebas.
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama kira-kira enam bulan di unit kondominium terbabit dan menggunakan rangkaian talian prabayar ‘Hotlink’ bagi mengakses internet,” katanya.
Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki warga China berusia antara 28 hingga 31 tahun.
Turut dirampas beberapa unit telefon bimbit dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000.
Kesemua suspek telah dibenarkan reman selama empat hari bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2026 bagi membantu siasatan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan polis