JOHOR BAHRU – Pasukan perlumbaan negara, Johor Motorsports Racing (JMR) bakal mencipta sejarah apabila mengesahkan penyertaan dalam tiga perlumbaan endurance paling berprestij dunia iaitu 24 Hours of Le Mans, CrowdStrike 24 Hours of Spa dan Suzuka 1000 tahun ini.
Pengumuman itu hadir selepas kejayaan JMR meraih podium dalam perlumbaan Bathurst 12 Hour awal tahun ini, sekali gus menandakan kempen antarabangsa terbesar pernah disertai pasukan yang berpangkalan di Johor itu.
Tumpuan utama terarah kepada penampilan sulung pemilik dan pemandu JMR, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Tunku Jefri Ibrahim dalam perlumbaan legenda 24 Hours of Le Mans di Perancis.
Beliau akan bergandingan dengan pemandu berpengalaman Ben Green dan bakat muda Britain, Lorcan Hanafin menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R yang dikendalikan bersama pasukan TF Sport.
Menurut Tunku Jefri, peluang beraksi di Le Mans merupakan impian yang diidamkan sejak mula menceburi dunia perlumbaan tujuh tahun lalu.
“Le Mans adalah perlumbaan yang saya impikan sejak mula berlumba. Saya teruja untuk beraksi di litar ikonik ini dan bangga melihat JMR mencapai sasaran yang kami tetapkan bersama,” katanya.
Selepas Le Mans, JMR akan meneruskan cabaran di Belgium menerusi CrowdStrike 24 Hours of Spa dengan menampilkan gandingan Tunku Jefri, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Ben Green dan pelumba Australia, Jordan Love.
Berbekalkan pengalaman musim lalu, JMR kini meletakkan sasaran lebih tinggi dengan memburu podium dan kemenangan dalam kelas masing-masing.
Kempen antarabangsa JMR akan berakhir di Jepun menerusi perlumbaan Suzuka 1000 pada September depan, selepas pasukan itu mencatat keputusan podium dalam kategori Pro dan Pro-Am pada edisi tahun lalu.
Penyertaan JMR di Le Mans dilihat sebagai antara pencapaian terbesar pernah dicapai sebuah organisasi perlumbaan Malaysia, sekali gus mengangkat nama negara ke pentas endurance paling berprestij dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JMR