JAKARTA – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mencipta sensasi apabila menyingkirkan pemain Jepun, Kodai Naraoka dalam aksi pusingan pertama kejohanan Indonesia Open 2026 hari ini.
Beraksi di kejohanan bertaraf Super 1000 itu, Jun Hao mempamerkan persembahan penuh yakin dan disiplin untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-17 ke atas bekas pemenang pingat perak dunia tersebut.
Pemain berusia 25 tahun itu mengawal rentak permainan sejak awal dengan menggabungkan serangan agresif serta pergerakan pantas di gelanggang bagi mengekang corak permainan defensif Naraoka.
Selepas memenangi set pertama 21-17, Jun Hao terus mengekalkan momentum pada set kedua sebelum menamatkan cabaran pemain Jepun itu dengan kemenangan 21-17 untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Kejayaan tersebut menjadi suntikan semangat besar buat kem badminton negara, selain membuktikan kemampuan Jun Hao untuk bersaing dengan kelompok pemain elit dunia.
Turut melakar kemenangan ialah beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo 21-17, 21-16.
Bagaimanapun, beregu campuran Jimmy Wong-Cheng Su Yin terkandas di pusingan pertama selepas tewas 19-21, 18-21 kepada pasangan pilihan utama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Nasib sama turut menimpa beregu lelaki negara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang tewas 18-21, 10-21 kepada pasangan India, Hariharan Amsakarunan-Ruban Kumar Rethinasabapathi.
Sementara itu, gandingan Choi Sol Gyu-Goh V Shem juga gagal meneruskan kemaraan apabila tewas 18-21, 15-21 kepada pasangan adik-beradik Perancis, Christo Popov dan Toma Junior Popov. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAM