KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menolak sebarang bentuk penyertaan, sokongan atau pengiktirafan terhadap inisiatif dikenali sebagai ‘Board of Peace’ yang dicadangkan di bawah kepimpinan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata inisiatif berkenaan bukan mekanisme keamanan sebenar, sebaliknya alat politik untuk mengukuhkan dominasi kuasa besar dan menutup jenayah perang atas nama diplomasi.
“Malaysia tidak wajar digunakan bagi memberi legitimasi kepada agenda yang tidak mempunyai asas moral, undang-undang mahupun keikhlasan terhadap keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, rekod kepimpinan Trump sebelum ini jelas menunjukkan pendirian yang bercanggah dengan prinsip keamanan sejagat termasuk pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, pelaksanaan Abraham Accords serta sokongan ketenteraan dan politik tanpa syarat terhadap Israel.
Katanya, sebarang ‘lembaga keamanan’ yang lahir daripada legasi tersebut tidak berupaya membawa keadilan sebenar kepada rakyat tertindas.
Mapim turut menyifatkan cadangan Board of Peace sebagai perangkap geopolitik yang bertujuan menghalalkan pendudukan haram, melemahkan sistem undang-undang antarabangsa serta meminggirkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia bukan usaha menyelesaikan konflik, sebaliknya penjenamaan baharu kepada penstrukturan imperialisme global,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mapim menegaskan bahawa isu Palestine kekal sebagai ujian moral kepada mana-mana proses keamanan.
Menurutnya, keamanan tidak akan wujud selagi Gaza terus dikepung, Tebing Barat dijajah, pelarian Palestin dinafikan hak pulang, Masjid Al-Aqsa dicemari dan jenayah perang gagal dibawa ke muka pengadilan.
“Mana-mana inisiatif yang enggan menangani pendudukan dan penindasan Israel bukanlah keamanan, tetapi satu bentuk keterlibatan dalam ketidakadilan,” katanya.
Mapim turut mengingatkan bahawa dasar luar Malaysia selama ini berteraskan prinsip kedaulatan negara, keadilan sejagat, pematuhan undang-undang antarabangsa dan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Mapim menyeru Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Ahli Parlimen serta masyarakat sivil supaya secara terbuka menolak sebarang penglibatan dengan Board of Peace dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap proses keamanan yang adil serta berteraskan kebertanggungjawaban.
“Keamanan tidak boleh dibentuk oleh pihak yang mencetuskan peperangan, dan keadilan tidak boleh lahir daripada mereka yang menafikan nilai kemanusiaan,” katanya. – DETIK MALAYSIA