SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memandang serius laporan serta aduan awam berhubung kewujudan banyak kuil yang didakwa dibina tanpa kelulusan sah pihak berkuasa tempatan di beberapa negeri.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, isu tersebut bukan soal agama, sebaliknya melibatkan ketertiban negara serta penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang.
Menurut beliau, sebarang pelanggaran yang dibiarkan berlarutan berpotensi mewujudkan preseden berbahaya, sekali gus melemahkan sistem perundangan dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“MAPIM menerima maklumat mengenai kewujudan kuil yang dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran, di atas rizab jalan dan tanah awam, selain pembinaan tanpa pelan bangunan diluluskan serta tanpa kelulusan guna tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perbuatan tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap peraturan pihak berkuasa tempatan, Kanun Tanah Negara serta undang-undang perancangan bandar, dan tiada justifikasi budaya atau sejarah boleh mengatasi kedaulatan undang-undang.
Sehubungan itu, Mapim menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan secara adil tanpa pilih kasih, tanpa standard berganda serta tanpa sebarang pengecualian berdasarkan tekanan politik atau sentimen tertentu.
“Penguatkuasaan yang adil adalah asas kepada keamanan dan keharmonian negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mapim menggesa beberapa langkah penyelesaian berasaskan undang-undang, antaranya audit menyeluruh oleh pihak berkuasa tempatan, pengelasan status semua rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan, pelaksanaan proses perundangan yang telus dan berperingkat, serta tindakan tegas terhadap sebarang pembinaan haram baharu.
Tegas Mohd Azmi, isu tersebut perlu ditangani dengan ketegasan berprinsip dan keadilan sosial demi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Mapim percaya keharmonian tidak lahir daripada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang, sebaliknya daripada keadilan yang ditegakkan dengan hikmah dan ketegasan. Undang-undang adalah benteng negara, keadilan adalah asas keharmonian dan tiada siapa kebal daripada peraturan,” katanya. – DETIK MALAYSIA