SHAH ALAM – Sebarang rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Iran mesti berlandaskan undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dijalankan di bawah bayang-bayang tekanan ketenteraan atau ugutan strategik.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan Amerika Syarikat mengerahkan kekuatan tentera laut yang besar, termasuk kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Abraham Lincoln serta beberapa kapal pemusnah ke perairan berhampiran Iran, dilihat sebagai isyarat tekanan ke atas Tehran sebelum sebarang rundingan dimulakan.
“Pada masa sama, Amerika Syarikat masih meneruskan sekatan ekonomi menyeluruh terhadap Iran, termasuk langkah punitif yang telah menjejaskan ekonomi negara itu sejak Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, sekatan dan tekanan ketenteraan telah lama menjadi teras dasar Amerika Syarikat terhadap Iran, termasuk pengenaan semula sekatan besar-besaran selepas pengunduran daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2018, yang mengekang sistem kewangan dan eksport minyak Iran tanpa kaitan jelas dengan hasil rundingan.
Mapim turut mengingatkan bahawa sejarah tindakan ketenteraan Amerika Syarikat, termasuk pembunuhan komander tentera Iran, Qasem Soleimani pada 2019 serta serangan terhad terhadap kemudahan berkaitan nuklear Iran, telah mencetuskan ketidakpercayaan dan meningkatkan risiko ketegangan serantau.
Dalam pada itu, sokongan berterusan Amerika Syarikat terhadap operasi ketenteraan Israel turut dilihat mengukuhkan persepsi bahawa diplomasi digerakkan oleh ketidakseimbangan kuasa, bukan prinsip keadilan dan norma undang-undang antarabangsa.
“Rundingan yang adil mesti menghormati kedaulatan negara, prinsip tidak campur tangan dan kedudukan setara. Tekanan ketenteraan dan sekatan unilateral hanya menjejaskan legitimasi diplomasi,” katanya.
Ujarnya, Mapim menegaskan keamanan dan kestabilan di Asia Barat tidak akan dicapai melalui paksaan atau unjuran kuasa, sebaliknya menerusi rundingan yang sah, telus dan berteraskan undang-undang antarabangsa. – DETIK MALAYSIA