SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberi amaran bahawa apa yang sedang berlaku di Tebing Barat ketika ini merupakan kesinambungan kepada kemusnahan di Gaza, dengan matlamat akhir penghapusan hak rakyat Palestin dan penguasaan sepenuhnya Baitul Maqdis.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kemusnahan di Gaza bukan konflik terpencil, sebaliknya sebahagian daripada pola jangka panjang yang melibatkan pemusnahan, pemindahan paksa, peluasan penempatan haram dan penghapusan identiti Palestin.
Menurut beliau, di Tebing Barat, bandar dan kampung Palestin semakin terpecah akibat pembinaan penempatan haram, zon ketenteraan serta keganasan peneroka yang dilindungi tentera pendudukan.
“Sejak konflik memuncak pada 7 Oktober 2023, hampir 1,000 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, termasuk ratusan kanak-kanak, hasil tindakan tentera pendudukan dan peneroka, berdasarkan laporan badan kemanusiaan dan agensi PBB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keganasan peneroka meningkat secara mendadak apabila Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) merekodkan lebih 1,770 serangan peneroka sepanjang 2025 di lebih 270 komuniti Palestin, selain perobohan besar-besaran yang menyaksikan 1,177 struktur diroboh atau dirampas pada 2023.
Mapim turut menegaskan bahawa peluasan penempatan haram sejak 1967, yang kini menempatkan kira-kira setengah juta peneroka di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur, merupakan langkah strategik untuk menganeksasi wilayah Palestin secara berperingkat, sekali gus bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Mohd Azmi berkata, Baitul Maqdis menjadi sasaran utama kerana penguasaan kota suci itu membawa makna penguasaan naratif, identiti dan legitimasi, termasuk melalui pencerobohan berulang ke atas Masjid Al-Aqsa serta pengusiran penduduk Palestin.
Sehubungan itu, Mapim mengkritik kegagalan komuniti antarabangsa dan kebisuan negara-negara Islam yang disifatkan hanya mengeluarkan kenyataan tanpa tindakan konkrit.
“Gaza telah dimusnahkan, Tebing Barat sedang dihapuskan dan Al-Aqsa diserang setiap hari. Jika dunia terus berdiam diri, ini bukan lagi berkecuali tetapi satu bentuk keterlibatan,” katanya.
Mapim menyeru agar normalisasi dengan kuasa pendudukan dihentikan, tindakan undang-undang antarabangsa diperkukuh dan hubungan ekonomi yang menyokong pendudukan diputuskan.
“Gaza bukan penamat. Tebing Barat adalah medan seterusnya dan Baitul Maqdis adalah sasaran akhir. Persoalannya kini, siapakah yang akan menghentikannya,” katanya. – DETIK MALAYSIA