PETALING JAYA – Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menegaskan pasukannya tidak akan bermain secara bertahan apabila berdepan BG Pathum United FC dalam aksi penentuan Kumpulan A Shopee Cup 2025/26 di Stadium MBPJ, Rabu ini.
The Red Giants hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas kini selesa di puncak Kumpulan A, namun Pan-gon menegaskan misi mereka tetap jelas bermain dengan identiti sendiri dan tidak gentar dengan lawan dari Thailand itu.
Beliau mengakui barisan pemainnya masih keletihan selepas jadual padat serta kemenangan intensiti tinggi 2-0 ke atas Công An Hà Nội FC sebelum ini, yang menyaksikan Faisal Halim meledak dua gol.
“Semua orang tahu betapa pentingnya perlawanan ini untuk kelab, penyokong Red Giants, Selangor dan juga bola sepak Malaysia.
“Secara fizikal, pemain masih letih kerana jadual yang sukar, tetapi perkara itu tidak boleh mengganggu kami. Saya percaya semangat dan keinginan pemain lebih kuat daripada keletihan. Saya yakin mereka mampu mengatasi situasi sukar ini,” katanya.
Pan-gon turut memberi amaran bahawa BG Pathum United bukan lawan yang boleh dipandang mudah kerana berada di tangga kedua kumpulan dan memiliki kualiti teknikal tinggi.
“BG Pathum United adalah salah satu pasukan yang kuat di rantau ini dan layak mendapat penghormatan penuh kami. Mereka sangat teratur dan memiliki tahap teknikal yang tinggi. Ia akan menjadi cabaran sukar,” jelasnya.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 56 tahun itu menegaskan Selangor akan terus berpegang kepada falsafah permainan mereka sendiri dan tidak sesekali bermain untuk keputusan seri.
“Kami sudah mengkaji kekuatan mereka, tetapi pada masa sama kami akan fokus menggunakan kekuatan sendiri.
“Kami sedang membina identiti dan DNA sebagai satu pasukan. Kami tidak akan bertahan esok (malam ini), kami mahu menunjukkan kepada Red Giants kekuatan sebenar kami dan membanggakan mereka,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Selangor FC