SUBANG JAYA – Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan kejadian memukul anak saudara di sebuah rumah di Putra Height di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.29 petang semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pengadu tinggal serumah dengan suspek yang merupakan ibu saudaranya bersama dua sepupu masing-masing berusia 24 dan 17 tahun.
“Kejadian dipercayai melibatkan perbuatan memukul pengadu serta penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, polis telah menahan tiga individu terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki, semuanya warganegara tempatan berusia dalam lingkungan 17 hingga 49 tahun.
Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 6 Februari 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Wan Azlan berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk arahan lanjut. – DETIK MALAYSIA