KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyuarakan kebimbangan serius terhadap dakwaan berleluasanya aktiviti judi dalam talian dan pengedaran dadah sehingga ke kampung-kampung kecil di Sarawak, yang dipercayai beroperasi dengan perlindungan rasuah pihak tertentu.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kegiatan haram itu tidak mungkin berlaku secara berterusan dan terbuka tanpa adanya perlindungan orang dalam dalam kalangan pihak berkuasa.
Menurut beliau, persoalan utama bukan sekadar siapa yang ditangkap, tetapi siapa yang melindungi rangkaian jenayah tersebut selama bertahun-tahun.
“Kewujudan premis yang beroperasi 24 jam, berselindung di sebalik kedai runcit atau kedai kopi serta hidup bermewah secara terang-terangan adalah petunjuk jelas kegagalan penguatkuasaan dan kemungkinan berlaku kolusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MCW turut mengambil maklum ketegasan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memerangi rasuah melalui penubuhan Ombudsman Negeri, namun menegaskan ia tidak boleh sekadar bersifat kosmetik.
Menurutnya, Ombudsman mesti diberikan kuasa sebenar, kebebasan siasatan, akses kepada maklumat penguatkuasaan serta jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblowers).
Jais berkata, kes terbaharu melibatkan tangkapan seorang pegawai penguat kuasa atas dakwaan menerima rasuah membuktikan bahawa masalah tersebut adalah realiti yang merosakkan kepercayaan rakyat.
“Jika tindakan hanya tertumpu kepada ‘ikan bilis’ dan bukan rangkaian perlindungan sebenar, kitaran rasuah dan jenayah ini akan terus berulang,” tegasnya.
Sehubungan itu, MCW menggesa beberapa tindakan segera dilaksanakan, antaranya siasatan bebas dan menyeluruh terhadap rangkaian perlindungan judi online dan dadah, audit integriti berkala terhadap balai serta unit penguatkuasaan berisiko tinggi, perlindungan menyeluruh kepada pemberi maklumat, dan ketelusan hasil siasatan kepada rakyat.
Beliau menegaskan, tanpa membersihkan pelindung jenayah, kegiatan haram tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya.
“MCW akan terus bersuara demi integriti, keadilan dan keselamatan masyarakat,” katanya. – DETIK MALAYSIA