KUALA LUMPUR – Sebuah klinik kecantikan yang disyaki beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan (KKM), diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Ops Dandan di sekitar Bukit Bintang di sini, semalam.
Dalam operasi tersebut, seramai 18 individu diperiksa susulan aduan orang awam, sebelum 15 warganegara asing ditahan kerana disyaki menjalankan rawatan kecantikan tanpa kebenaran serta tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita warganegara China, serta dua wanita warganegara Myanmar.
“Siasatan awal mendapati warganegara China yang ditahan dipercayai menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk bekerja di negara ini
“Turut disita beberapa barangan termasuk pakaian uniform, telefon bimbit, komputer riba, kamera litar tertutup (CCTV), lesen perniagaan dan dokumen berkaitan syarikat,” katanya dalam kenyataan ahri ini.
Beliau berkata, modus operandi klinik tersebut dipercayai menawarkan perkhidmatan rawatan muka dan kecantikan badan dengan menggunakan khidmat pekerja asing yang menyalahgunakan PLS untuk menjalankan prosedur kecantikan.
Menurutnya, klinik berkenaan dipercayai dimiliki seorang warganegara China yang turut disyaki menyalahgunakan pas, serta telah beroperasi sejak setahun lalu dan mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit.
“Kesemua warga asing yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, sebelum dibawa ke Pejabat JIM WPKL untuk tindakan lanjut.
“Tiga wanita tempatan yang bekerja di klinik tersebut diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Imigresen