KUALA LANGAT – Operasi pemadaman kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) di Sungai Kelambu, Banting memasuki hari kedua dengan 37 ekar kawasan berjaya dipadamkan setakat pukul 10 pagi hari ini, manakala 19 ekar masih terbakar.
Kebakaran membabitkan keseluruhan kawasan seluas 56 ekar itu pertama kali dilaporkan pukul jam 12.43 tengah hari semalam, di koordinat 2.79169, 101.58205.
Ketua Zon 5 (KLIA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, PgKB II Mohamad Issmanto Md Pono berkata, kebakaran masih aktif tetapi terkawal.
“Operasi pemadaman diteruskan secara berperingkat. Setakat ini, kebakaran tidak menjejaskan kawasan penempatan berhampiran dan Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi hari ini membabitkan dua pasukan Strike Team.
Strike Team A yang terdiri daripada pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tertumpu kepada pemadaman di sekitar jalan utama, manakala Strike Team B dikendalikan Jabatan Perhutanan melakukan pemadaman di bahagian dalam kawasan berhampiran tubewell,” katanya.
Menurutnya, kekuatan keseluruhan membabitkan tiga pegawai dan 38 anggota daripada JBPM, PANTAS (6), APM (5), Pejabat Tanah dan Daerah (5), Jabatan Perhutanan (12) serta Unit Pengurusan Bencana Negeri (3).
Operasi pemadaman akan diteruskan sehingga kebakaran dapat dikawal sepenuhnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Bomba