SEPANG – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez menguji dua jentera berbeza pada hari pertama ujian pramusim Sepang semalam, membabitkan Desmosedici GP25 dan prototaip baharu GP26.
Pelumba Ducati Lenovo Team itu mencatat masa terpantas 1:57.018, namun menegaskan masih terlalu awal untuk menilai perbezaan prestasi kedua-dua jentera berkenaan.
Marquez menggunakan GP25 sebagai penanda aras, manakala GP26 yang menampilkan beberapa penambahbaikan teknikal diletakkan bersebelahan di garaj pasukannya.
Menurut Marquez, perubahan besar sukar dilakukan kerana peraturan MotoGP mengehadkan pengubahsuaian pada enjin.
“Komponen utama seperti enjin tidak boleh diubah, jadi ruang untuk penambahbaikan agak terhad,” katanya kepada Marca.
Beliau turut memberi amaran bahawa keadaan litar Sepang yang mempunyai cengkaman tinggi akibat banyak getah di permukaan trek boleh mengelirukan prestasi sebenar jentera.
“Di sini semuanya nampak baik, tetapi kita perlu mendapatkan asas yang kukuh memandangkan musim ini mempunyai 22 perlumbaan,” jelasnya.
Marquez menegaskan ujian di Sepang sangat penting kerana ujian Buriram di Thailand dijadualkan hampir dengan perlumbaan pembuka musim 2026.
“Banyak keputusan perlu dibuat di sini sebelum ke Thailand,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MotoGP
